#amal30lists Best books I have read

Untuk senarai hari ini, susah saya nak pilih hanya beberapa buku yang betul-betul saya suka sebab setiap buku dibaca dengan tujuan yang berbeza. Mungkin ada buku yang yang saya baca dikelaskan sebagai ’bestseller’, namun tak semestinya saya suka dengan keseluruhan kandungan buku. Ada yang saya baca untuk memahami dunia bisnes, ada yang saya baca untuk faham kaedah-kaedah dakwah, ada yang saya baca untuk mendapat inspirasi, dan ada yang saya baca hanya untuk santai-santai.

Maka, untuk pilih hanya beberapa tajuk buku itu adalah satu kerja yang susah. Lebih-lebih lagi untuk orang seperti saya yang suka semua buku yang dia baca.

buku

Kalau ada buku yang saya tak suka, buku itu takkan habis saya baca. Buku itu akan terbiar berhabuk di almari dan cerita tak bagusnya akan dihebahkan melalui mulut saya.

Sedikit deskripsi tentang buku yang ada dalam senarai:

Quran: Kalau ada satu bacaan yang boleh kita faham diri kita, hidup kita dan matlamat kita, takkan kita tak suka kan?

Buku sirah: Saya suka buku sirah sebab di situ banyak terhimpun kisah-kisah yang memberi inspirasi. Sirah juga dapat memberikan kita satu tanda aras untuk kita semak sendiri adakah kita dah menjadi muslim yang sebenar-benar muslim

Rembulan Tenggelam di Wajahmu (Tere Liye): Novel Tere Liye yang pertama yang saya baca dan juga novel pertama yang buat saya menangis. Sayang kerana karya novelis popular Indonesia ini tak gah di Malaysia. Saya percaya kalau novel ini dibaca oleh orang Malaysia, nescaya novel-novel genre Suamiku.. akan dilupakan begitu saja

30_19_2

Cerita Cinta Ahmad Ammar: Kalau ada orang yang popular hanya setelah dia pergi, itu tandanya kematiannya adalah pemergian yang diredhai. Kalau ada orang yang dia rapat dapat menceritakan semua kebaikan yang dia buat, itu tandanya dia hidup dengan tak bermuka-muka, melainkan memang kebaikan itu yang dia buat dan orang rasa. Belajar banyak-banyak dari orang seperti ini.

Steal Like An Artist: Buku yang buat saya faham tentang apa ertinya sesorang itu terlibat dengan karya kreatif. Mudah nak faham dan mudah nak amalkan

The Accidental Creative: Buku yang berguna untuk belajar tentang prinsip-prinsip produktiviti.

Yang tak termasuk dalam senarai:
Lapis-lapis Keberkahan – Salim a Fillah
Hafalan Solat Delisa – Tere Liye
Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim – Salim a Fillah
Ada Surga di Rumahku – Amru Khalid
Khawatir Quraniah – Amru Khalid
Attack on Titan (haha)

#amal30lists Top 5 best moments of my life

Saya sangat suka page hari ini. Bila kita letak kenangan-kenangan masa lalu atas kertas, baru kita nampak macam-macam nikmat kita dah dapat, macam-macam nikmat yang kita dah rasa dan macam-macam nikmat yang dah ubah hidup kita jadi lebih baik.

momen terbaik

Itu baru lima.

Jiwa terasa kerdil di hadapan Dia yang Maha Pemurah. Semua ini tak saya dapat dengan usaha semata-mata, melainkan Dia juga yang nak mengizinkannya.

Ini kali pertama saya senyum sebaik saat saya habis tulis senarai.

Setiap kali saya lihat senarai ini, hati akan terdetik: ‘Saya adalah orang yang bertuah. Serius’

Satu petua yang saya selalu percaya: kebahagian itu datang dari jiwa yang bersyukur.

30_18_2

Pendek pula saya tulisan saya hari ini. Orang kata, kita susah nak gambarkan kegembiraan atau kesyukuran kita dalam bentuk tulisan. Saya gembira, saya gembiralah. Nak tulis apa lagi.

Tapi kalau kita cerita pasal penderitaan, kesedihan dan kesusahan, tiba-tiba kita jadi pemuisi agung. Tiba-tiba, banyak perkataan kita jumpa dan guna. Tiba-tiba, ayat-ayat kita jadi tersusun elok.

Jumpa lagi esok.

#amal30lists Ways I have changed over the years..

Kalau nak renung sejauh mana saya dah berubah dalam masa beberapa tahun ini, memang banyak yang nak disenaraikan. Yang ada dalam senarai ini adalah benda-benda yang sempat saya tulis.

berubah, dakwah, tarbiyah

Selain apa yang ditulis di atas, saya yakin ada banyak benda dalam diri saya yang dah berubah sama ada saya sedar atau tak. Prioriti dah berubah, minat dah berubah dan cita-cita pun berubah.

Dah tentu tak sama prioriti, minat dan cita-cita saya pada umur 18 tahun dengan prioriti, minat dan cita-cita saya sekarang. Banyak pengalaman yang saya hadap, banyak orang yang saya jumpa dan banyak ilmu yang saya teguk. Semua ini banyak mematangkan.

Mungkin ada sesetengah aspek dalam diri saya yang sebenarnya lebih teruk dari dulu. Saya saja yang tak sedar. Moga-moga Allah cepat nampakkan supaya saya boleh mulakan usaha untuk berubah.

Namun, perubahan yang paling besar berlaku sejak berkenalan dengan dakwah dan tarbiyah. Sejak itu, prioriti, minat dan cita-cita saya berubah. Saya dah mula untuk buat sesuatu bukan hanya suka-suka melainkan ia mendatangkan manfaat untuk diri dan dakwah.

berubah, dakwah, tarbiyah

Dulu saya seorang ekstrimis introvert, namun sifat malu dan tak selesa dengan orang perlu saya buang untuk sampaikan dakwah.

Dulu saya hantu beli-belah, sekarang saya dah tak terlalu taksub dengan material. Beli mana perlu. Jimatkan otak untuk fikir benda lain.

Dulu fanatik movie, anime, game, lagu tak senonoh dll, sekarang saya dah buang semua itu. Otak DAH jadi makin lapang.

Dulu suka buat benda setengah jalan, sekarang saya dah cuba untuk beri komitmen untuk selesaikan benda-benda yang saya janji untuk buat, biarpun saya tak suka.

Dulu suka simpan perasaan, sekarang dah banyak belajar meminta maaf dan memaafkankan. Hati tenang + bahagia.

Dulu hidup tunggang langgang, sekarang belajar untuk rancang hidup dan rancang masa.

Dan banyak lagi..

Saya perlu rasa syukur sebab Allah yang banyak mudahkan semua ini. Walaupun tak semuanya itu sempurna, namun saya tetap bersyukur sebab Allah dah jentik rasa untuk berubah pada masa-masa ini. Kalau boleh, saya nak guna betul-betul masa muda ini untuk dakwah.

Sekarang ini, saya tak sanggup nak fikir kalau-kalau Allah takdirkan saya hanya dapat hidayah bila usia dah masuk rembang senja. Masa itu kudrat dah tak seberapa dan otak pun tak setajam mana. Padahal masa itu baru nak belajar semua benda.

Rugi, rugi.

#amal30lists Things I had learn to love

Kalau tengok senarai saya hari ini, boleh kata saya nak belajar untuk sayang semua benda. Allah, Rasul, orang sekeliling dan diri sendiri.

Tak ada satu pun yang tertinggal.

sayang, suka

Bagi saya, kalau nak rasa bahagia, kita perlu buka hati kita luas-luas. Terima apa-apa atau siapa-siapa yang datang dalam hidup kita dengan tangan terbuka. Jangan harap apa-apa balasan, namun kita juga harus menjadi orang yang kuat memberi.

Bila usia dah melintas setengah abad, banyak benda yang dulu rasa penting dah tak rasa penting pun sekarang.

Kita buat salah pada orang. Orang buat salah pada kita.

Dua-dua dah tak perlu fikir. Buat kita penat je. Kutip mana- mana yang baik untuk belajar. Yang lain-lain bungkus dalam kotak. Bakar.

30_16_2

Sekarang, kita lupa saja apa yang orang buat pada kita dan apa kita buat pada orang. Kita maafkan orang dan maafkan diri sendiri. Kita mula hidup baru. Jangan toleh belakang lagi.

Belajar untuk sayang semua benda yang ada depan mata. Bila dah mahir, rasa bahagia itu akan datang insyaAllah.

#amal30lists Places I want to go

Hari ini, saya dah cecah limit maksimum untuk projek ini. Saya dah mula rasa terpaksa dan bosan; satu fenomena yang orang selalu panggil ‘burn-out’. Namun, saya lega sebab projek ini dah masuk setengah bulan. Ada setengah bulan lagi yang perlu dihadap untuk lengkapkan projek ini. Selepas itu, tamat.

Namun, tajuk hari ini buat saya teruja: tempat yang ingin dilawati. Siapa tak suka membayangkan tempat-tempat idaman yang kita hanya jumpa di kaca tv. Soal cukup duit, masa dan tenaga itu belakang kira. Asalkan kita berani untuk bermimpi.

30_15_1

Pada saya, ada beza antara pelancong dengan pengembara. Pelancong adalah golongan yang datang, bersiar-siar, tangkap gambar, letak kat FB, balik.

Pengembara pula berbeza. Pengembara adalah pemerhati. Dia datang, jumpa orang tempatan, kaji cara hidup dan budaya mereka, balik.

Bagi saya, tak ada satu golongan lebih baik dari golongan yang satu lagi sebab ia bergantung kepada tujuan kita datang ke satu-satu tempat. Tujuan itu yang akan menetapkan ke mana kita mengembara, berapa lama, berapa belanja, naik apa dan lain-lain lagi.

Berdasarkan pengalaman lepas, saya hanya pegang watak pelancong sebab saya lebih suka ber ada dalam zon selesa. Namun, bila saya fikir balik, saya rugi banyak kalau saya hanya sekadar jadi pelancong tanpa cuba mengembara.

Sekarang, saya dah tetapkan beberapa ciri tempat yang ingin saya pergi mengembara:

1. Tempat yang cantiknya tak ada di Malaysia.

Di situ saya boleh menikmati keindahan alam dan merenung Penciptanya. Bagi saya, untuk renung alam ini kita tak perlu sorang-sorang, ajak orang lain sama. Sementara kita kuatkan hubungan kita dengan alam, kita kuatkan sekali hubungan kita dengan orang yang kita sayang.

30_15_2

2. Tempat yang dihuni oleh orang Muslim yang hidupnya tak sama dengan hidup Muslim Malaysia.

Setiap tempat mempunyai sejarah, politik, ekonomi dan budaya yang tersendiri. Semua ini akan membentuk diri mereka: cara pandang mereka, cara mereka jalani hidup, masalah mereka dan penyelesaian yang mereka pilih.

Saya nak belajar semua itu supaya saya boleh faham mengapa mereka pilih untuk lihat dari kaca mata tertentu. Siapa tahu, apabila kita mempelajari cara pandang yang berbeza kita akan dapat memecah masalah kita sendiri yang selama ini kita tak mampu selesaikan sebab kita hanya pandang dari satu arah saja. Selain itu, kita akan belajar untuk faham dan tak mudah untuk menjatuhkan hukum pada orang lain

Disebabkan saya berpegang pada dua tujuan ini, saya tak ada masalah kalau saya tak berpeluang untuk pergi ke tempat-tepat biasanya popular di kalangan pelancong Malaysia. Apa yang orang British, Jepun, Perancis, Jerman dan lain-lain fikir tak termasuk dalam apa yang saya ingin tahu. Saya juga tak ada masalah kalau saya tak pernah sampai Eifel Tower atau Menara Condong Pisa. Bagi saya, bergambar di bawah bangunan itu akan nampak gah di media sosial namun tak banyak nilai yang akan saya peroleh dari tempat itu.

Pandangan saya terhadap perlancongan mungkin berbeza dengan kebanyakan orang namun ini adalah cara yang paling sesuai untuk diri saya.

Tak apa. Setiap orang seleranya berbeza.

#amal30lists Things I need to improve

i

Tak susah nak cari kelemahan kita. Kalau disuruh letak dalam senarai, memang akan jadi panjang berjela. Kita saja yang tahu dekat celah mana kelemahan yang ada dalam diri kita.

ubah

Kalau kita tak jumpa, itu bahaya. Takut-takut ego yang kaburkan mata kita hingga kita hanya nampak yang hebat-hebat saja.

Ada yang lagi bahaya.

Bila ada orang tegur kelemahan kita, kita tepis. Ketika itu, kita dah tak nampak apa yang orang lain nampak.

Maka, kenal kelemahan diri adalah langkah paling mula untuk berubah. Kemudian, kita sendiri yang pilih untuk berubah atau tak. Ada orang tahu dia ada kelemahan tapi dia pilih untuk tak nak berubah, sebab dia dah selesa keadaan diri dia sekarang.

Macam mana nak tahu kita patut berubah atau tak? Kita tanya diri kita: adakah kita akan rugi dunia dan akhirat kalau kita tak berubah?

Kalau jawapannya ya, itu maknanya kita perlu berubah.

Jangan tunggu di takuk lama. Jangan tangguh-tangguh.

Kalau Allah izinkan kita hidup lama, insyaAllah kita ada masa nak buat. Masalahnya, kita tak tahu pun berapa lama Allah bagi kita masa.

Bagaimana pula kalau sebenarnya kita tak ada masa?

30_14_2

ii

Semenjak saya mula berjinak-jinak dengan tarbiyah, saya selalu tertanya-tanya: bagaimana peribadi seorang akhawat yang ditarbiyah?

Saya dah bertemu dengan ramai murabbi. Dari mereka, saya cuba teliti peribadi mereka, akhlak mereka, dan cara pergaulan mereka.

Akhirnya, saya sampai pada pada konklusi: ‘Oh seorang akhawat itu haruslah bersopan-santun, cakap lembut dan berakhlak mulia,’ Maka, saya cuba untuk hidup dalam ideal tersebut.

Sehinggalah saya bertemu dengan seorang murabbi.

Murabbi ini lain dari yang lain. Dia tak seperti murabbi-murabbi yang saya jumpa sebelumnya. Dia tak rasa dia perlu bersopan-santun. Dia akan jadi diri dia sendiri walau ada kalanya sikap dia memang jelas tak senonoh. Dia tak kisah.

Ada orang akan kata, susah orang nak tsiqah pada kita kalau kita tak jaga kelakuan, tak jaga peribadi. Itu ada betulnya. Seorang daie itu sentiasa perlu berusaha itu mencantikkan akhlaknya.

Namun, saya rasa saya lebih terkesan dengan ketidaksempuraan itu. Atas ketidaksempurnaan itu, saya jadi selesa untuk jadi diri sendiri dan bongkar segala cacat cela saya depan dia. Saya tak perlu berusaha untuk nampak sempurna depan dia. Dan, itulah yang mendekatkan hati kami berdua.

Maka, pemahaman saya terhadap peribadi murabbi yang ideal banyak berubah. Ia tak semestinya ditentukan sama ada senonoh atau tak perangai kita. Bagi saya, apabila mutarabbi kita tahu bahawa kita ikhlas sepenuh hati untuk membawa mereka kepada Allah, mereka mampu lihat lebih jauh dari apa yang mereka nampak pada luaran kita.

Hakikatnya, kita manusia tak ada yang sempurna. Kita adalah manusia yang tak sempurna berkongsi hidup di atas dunia yang tak sempurna. Kadangkala berkongsi ketidaksempurnaan itu yang lebih memanusiakan kita.

Maka, dalam pada kita cuba memperbaiki diri kita, wujudkan juga satu ruang dalam diri untuk terima ketidaksempurnaan kita. InsyAllah kita akan lebih tenang.

#amal30lists Things I need to shake off

Bila saya lihat balik senarai hari ini, ada satu tema yang dapat saya kenal pasti dari senarai ini: saya banyak risau apa orang fikir pasal saya.

shake it off

Hrmm..

Kita selalu risau apa pandangan orang lain terhadap kita. Kita risau orang akan pandang rendah, tak suka atau cari silap kita. Kita jadi takut untuk buat satu-satu benda sebab kita takut apa yang orang fikir pasal kita.

Padahal, kalau kita cuba jaga diri kita baik mana sekalipun, orang tetap akan lempar kita macam-macam. Buat apa pun, tetap akan ada hati yang tak suka.

Jadi, neraca kita untuk buat satu benda itu sepatutnya bukanlah disebabkan cara manusia pandang kita, namun perlu didasarkan kepada bagaimana cara Allah pandang kita. Kalau kita buat benda yang Allah suka tapi orang tak suka, insyaAllah Allah akan mudahkan kita untuk jumpa orang yang suka apa yang kita buat.

shake it off

Tapi, kalau kita buat benda yang orang suka tapi Allah tak suka, maka Allah akan tinggalkan kita dengan orang yang kita sibuk-sibuk nak jaga hati. Bila Allah dah tinggalkan, agak-agak Allah akan bagi pertolongan pada kita lagi tak?

Tentu tak.

Tak apa kalau orang tak suka kita. Benci manusia itu hanya terhad atas dunia ini saja. Tapi kalau Allah tak suka kita, dunia dan akhirat tiada siapa yang akan jaga.

Satu peringatan untuk diri sendiri.

#amal30lists Current reads

Apabila saya lihat balik senarai buku yang saya baca sekarang, saya agak puas hati kerana saya ada buku dari setiap genre berbeza. Ada buku motivasi, buku bisnes, buku autobiografi, buku psikologi dan buku sastera (ke buku indie?)

buku, haruki murakami

Baca buku dari genre berbeza akan buat otak kita dapat lihat dunia ini dari berbagai perspektif. Maka, kita tak mudah nak limitkan pemikiran kita pada satu cara fikir saja.

Membaca merupakan cara paling singkat untuk selam dunia yang kita takkan lalui sampai bila-bila. Kita rasa sendiri pengalaman yang kita baca. Kita pilih dan gali apa pelajaran yang perlu kita kutip. Kemudian, kita guna semula apa yang kita belajar itu dalam kehidupan itu. Itulah gunanya membaca.

Tapi, manfaat yang kita peroleh dari membaca itu akan bergantung pada buku apa yang kita baca. Kalau kita suka buku dari genre Suamiku…, saya tak fikir kita boleh belajar banyak benda.

buku, haruki murakami

Sebenarnya, ada satu yang saya tak puas hati dengan senarai ini. Saya tak banyak baca buku dakwah. Padahal kefahaman tentang dakwah yang perlu saya cari kalau saya betul-betul nak jadi orang yang beramal.

Apa-apapun, setiap apa yang kita kutip dari buku-buku yang kita baca perlu didasarkan pada Islam dan dakwah. Itu asas kita.

Bulan ini saya dah sibuk dengan #amal30lists dan #the100dayofproject. Kedua-dua dah makan banyak masa dan tenaga. Maka, masa membaca untuk bulan jadi agak terhad. InsyaAllah saya akan prioritikan membaca dan menulis untuk bulan depan.

#amal30lists Recipes to try

Saya tak suka masak. Tapi itu tak bermakna saya tak pandai masak. Cuma, kalau saya ada masa lapang, masak adalah perkara terakhir yang akan saya buat. Erm, mungkin sebenarnya saya tak fikir untuk masak pun walau hidup saya bosan macam mana pun.

Saya ingat saya tak akan dapat jawab apa-apa pun untuk senarai hari ini. Hakikatnya, saya tak rasa pun nak cuba apa-apa resepi baru.

Saya makan apa yang ada atas meja. Kalau tak ada, tak apa. Hidup saya tak akan terjejas apa pun.

Namun, senarai ini berjaya juga wujud apabila saya beritahu diri saya untuk fikir apa yang saya suka makan tapi tak pandai nak masak sendiri.

Inilah hasilnya.

30_11_1

Separuh resepi adalah makanan yang saya suka makan masa di Ireland dulu tapi tak pernah nak cuba masak sendiri. Semua yang saya makan adalah masakan kawan yang suka masak. Kalau orang lain dah suka masak, buat apa kita nak susah-susah kan?

Selebihnya adalah makanan tradisi yang saya suka makan tapi tak buat-buat sebab malas. Mana-mana resepi yang banyak bahan, banyak prosedur dan banyak cengkadak memang saya ucap selamat jalan romeo. Cuma saya rasa saya perlu masak benda-benda ini atas sebab yang akan saya cerita selepas ini.

Hanya ada satu pengecualian: labu masak lemak. Yang suka labu itu suami bukan saya. Masa awal-awal kahwin dia dah cakap yang labu masak lemak itu kegemaran dia. Tapi, sebab saya tak suka labu maka saya buat-buat lupa dengan apa yang dia cakap.

resepi

Namun, bila saya jadi suri rumah sepenuh masa, baru saya dapat hargai nilai memasak itu. Memasak itu sebenarnya lorong yang paling cepat untuk sampai ke hati orang lain. Kalau kita masak, jarang kita akan masak untuk seorang. Kita akan ajak orang lain untuk makan sama.

Bila kita berkongsi makanan yang sama, barulah terasa barakahnya. Melalui barakah itu terwujudlah kasih sayang dan penghargaan.

Sebab itu saya rasa rugi mana-mana orang yang tak mahu belajar masak. Lain rasanya makan luar dengan masakan yang kita masak sendiri meski resepinya adalah resepi yang mudah-mudah. Tayanglah banyak mana makanan restoran lima bintang yang kita pergi dalam FB dan Instagram, rasanya tetap tak sama.

Bezanya terletak pada barakah kita berkongsi.

Sebab itulah saya berazam untuk cuba juga resepi labu masak lemak.

#amal30lists Best life advice

Apa nasihat terbaik yang pernah awak dapat?

Ketika saya sedang fikir-fikir jawapan untuk senarai ini, muncul dari dalam kepala frasa di bawah:

bawa bertenang, nasihat

Saya rasa frasa ini dah cukup untuk merangkumi nasihat-nasihat hidup yang akan kita dapat. Kebanyakan masalah yang kita ada atas dunia adalah disebabkan kita rasa kita akan duduk lama atas dunia. Kita rasa kita mampu nak kawal apa-apa yang kita ada.

Padahal, apa yang kita rasa kita ada itu bukannya milik kita pun. Kalau Allah nak bagi, Dia akan bagi. Kalau Dia nak tarik, Dia tak perlu minta izin kita pun untuk ambil.

Apa-apa pun, kita perlu bertenang. Terima hakikat tak ada benda atas dunia ini yang mampu kita kawal. Tapi ada satu benda yang kita boleh usahakan: usaha untuk beriman kepada Allah.

Maka, janji dengan diri, kita boleh hilang semua benda, tapi jangan sekali-kali kita benarkan Allah hilang dari dalam hati kita.

Ok saya tipu.

Sebenarnya, kita mampu beriman pun sebab Allah yang beri rasa iman itu. Kita tak mampu beribadah pun kalau Allah tak izinkan.

Ya, sebenarnya tak ada apa dalam dunia ini yang mampu kita kawal.